haribulantahun

TeRiMa KaSiH=))

Khamis, 21 Januari 2010

SYEIKH AHMAD YASSIN



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Rasul junjungan , ahli keluarga baginda, para sahabatnya serta pengikut dan pendokong kebenaran Islam hingga ke hari qiamat.
Dalam entri kali ini, ana ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat semua berkenaan dengan sebuah buku yang ana baca mengenai tokoh-tokoh gerakan Islam abad moden. Salah seorang tokoh pejuang yang ana amat kagumi iaitu as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin. Selama ini, kita hanya mengenal tokoh-tokoh pejuang pada zaman nabi, namun, agama ini juga tidak pupus dengan pejuang-pejuang kebenaran hingga ke hari ini.
KEHIDUPAN AWAL SYEIKH AHMAD YASSIN
Nama beliau bukanlah asing kepada umat Islam seluruh dunia, apatah lagi yang sering mengikuti perkembangan mutakhir di bumi Anbiya’ (Palestin). Ia satu nama besar yang digeruni oleh bangsa Yahudi yang mana sering mengintai peluang untuk membunuh beliau walaupun dalam keadaan fizikalnya yang tidak normal seperti manusia lain.
Pemikiran beliau yang amat matang serta mampu membaca strategi-strategi musuh telah menyebabkan bangsa Yahudi laknatullah tidak senang duduk.
Beliau membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajarannya dan amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif. Pada usia mudanya, beliau telah ditimpa kemalangan apabila telah terjatuh semasa sedang beriadah. Kemalangan ini telah menyebabkan beliau lumpuh pada bahagian kakinya. Walaubagaimanapun, kejadian itu tidak melumpuhkan semangat beliau untuk terus cemerlang dalam pelajaran serta aktiviti-aktiviti Islam yang lain.
Pada tahun 1964, beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti tersebut tidak sampai ke penghujungnya apabila beliau telah dipenjarakan oleh pihak berkuasa Mesir selama sebulan kerana penglibatan beliau dalam gerakan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1966.
Lebih dahsyat lagi, beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Namun, ujian ini tidak pernah memadamkan roh perjuangan di hati beliau.
Kepulangan beliau ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan Islam sebagai guru bahasa Arab serta sebagai khatib di Masjid Gaza.
Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk-penduduk Gaza dengan khutbahnya yang sangat memikat hati dengan mesej kembali kepada kemuliaan Islam terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.
Ahmad Yassin juga telah berkorban banyak masanya untuk untuk menjadi petugas kebajikan serta pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja serta para pemuda dengan didikan Islam.
Hasil dari usaha tersebut, sekitar tahun 1969 dan 1970 beliau telah menubuhkan Gerakan Ikhwan Muslimin di Gaza. Gerakan ini semakin berkembang pesat dan diterima oleh masyarakat di situ. Apatah lagi nama harum gerakan ini di Palestin dalam dekad 1940an semasa Ikhwan Muslimin menyandang senjata menentang tentera Yahudi dan British.
Hasilnya, pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah NGO untuk menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberi nama Mujamma al-Islam. Pertubuhan ini telah menyantuni ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, serta orang-orang tua dan pelbagai gerak kerja kebajikan yang lain sehingga meletakkan Syeikh Ahmad Yassin dekat di hati masyarakat Palestin.
CITA-CITA UNTUK MELIHAT ISLAM DIDAULATKAN TIDAK PERNAH LENTUR DI HATINYA
Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat Islam di sana untuk berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai ‘al-Mujahidun al-Filastiniyun’ pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan ‘Kataib Syuyukh’ yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka.
Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis atas tuduhan memiliki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel.
Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil daripada proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO dan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selam 11 bulan.

HAMAS: SAAT LANGIT PALESTIN BERWARNA MERAH SAGA
Dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an, perjuangan Israel lebih terarah kepada kelompok Sosialis dan kebangsaan Arab yang sempit. Ternyata ideologi Barat tidak mampu untuk menggerunkan Israel yang hanya mampu memahami bahasa bom dan senapang. Kini, sudah tiba masanya mereka kembali kepada perjuangn Islam seiring dengan kebangkitan Islam yang sedang bergelora di seluruh dunia.
Kembali kepada nuansa perjuangna yang berteraskan Islam, berpandukan al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah SAW, maka pada bulan Disember tahun 1987, Syeikh Ahmad Yassin bersama beberapa orang tokoh masyarakat (pendokong-pendokong Ikhwanul Muslim di Gaza) mengasaskan pergerakan Kebangkitan Islam (HAMAS) atau dalam bahasa Arabnya disebut Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah. Pertubuhan ini secara langsung membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dan menyeru rakyat rakyat Palestin berjuang atas nama Islam menentang penjajah Yahudi di Palestin. Syeikh Ahmad Yassin terpilih sebagai pemimpin tertinggi dan beliau terkenal dengan sifat warak, berani, lantang berpidato, sedia berkorban dan mempunyai aura kepimpinan.
Gerakan jihad ini sangat tersohor dan digeruni oleh musuh Allah sehingga Amerika Syarikat telah meletakkan gerakan ini dalam senarai pertubuhan pengganas namun HAMAS tetap harum subur di hati masyarakat Palestinse hingga pernah menang besar dalam pilihanraya Palestin.
Ahmad Yassin terus menjadi ikon masyarakat Palestin. Beliau merupakan pembangkit semangat anak-anak muda Palestin, daripada lontaran batu yang diselangi takbir, HAMAS telah mengusung senjata moden untuk berdada dengan kezaliman tentera Zionis

KESYAHIDAN SYIEKH AHMAD YASSIN 
Memimpin HAMAS bererti menyediakan nyawa untuk perjuangan. Israel beberapa kali mengatur percubaan untuk membunuh Syeikh Ahmad Yassin, bahkan Israel dengan sombong telah mengumumkanperancangan mereka untuk membunuh pemimpin-pemimpin tinggi HAMAS.
Pada 6 September 2003, HAMAS telah dikejutkan dengan serangan di bangunan mereka sedang bermesyuarat, namun Syeikh terselamat dari serangan itu.
Namun tentera Israel terus mengintai peluang untuk menghapuskan tokoh yang amat digeruni ini. Pada waktu subuh yang hening, tanggal 22 Mac 2004, Israel telah menyerang dengan menggunakan peluru berpandu yang dilancarkan dari atas helicopter thaghut itu. Maka, bercucuranlah darah seorang syahid di jalan Allah.
Pada 22 April 2004, Israel tersenyum puas dengan kejayaan mereka membunuh pemimpin tertinggi HAMAS itu. Namun, percayalah bahawa dalam sisi lain, mereka telah MENGINSPIRASIKAN LAGI GERAKAN JIHAD INI UNTUK MENERUSKAN AMALAN YANG MULIA INI HINGGALAH KEMENANGAN ISLAM TERCAPAI. TAKBIIIRRRR!!!!!!
Begitulah adab dalam perjuangan menentang kebatilan ini. Tidak ada harga yang murah untuk menegakkan kalimah al haq! Harap, kita semua dapat menyambung roh perjuangan beliau. INSYAALLAH.

0 comments:

Catat Ulasan